TRAGIS !! Dua beranak maut kemalangan

SUNGKAI – Dua beranak maut apabila kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan setelah terlanggar bangkai lembu yang merintangi laluan di Kilometer 86.4 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 itu, mangsa, Kamaruzzaman Bokhari, 51, dan anaknya, Muhammad Hariz Zakwan,15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketika kejadian, Kamaruzzaman yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum bersama anaknya dalam perjalanan dari kediaman mereka di Taman Permai Jaya untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trolak.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, berdasarkan laporan awal, kereta jenis Kelisa dinaiki mangsa terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan sebaik melanggar bangkai lembu berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak menyebabkan pertembungan berlaku.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit, hasil bedah siasat dijalankan Hospital Tapah mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan di beberapa anggota badan,” katanya.

Som Sak berkata, insiden berkenaan turut menyebabkan dua lagi kenderaan termasuk sebuah MPV yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh merempuh antara satu sama lain.

Katanya, rempuhan itu berlaku akibat kegagalan mengelak disebabkan jarak terlalu dekat.

“Bagaimanapun,  semua pemandu yang terlibat hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar, siasatan dibuat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Mohd Azlan Mahiyidin  berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.05 dan tiba di tempat kejadian pada jam 7.20 pagi.

Katanya, dengan kekuatan satu jentera dan  lapan anggota yang diketuai oleh beliau berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh 10 minit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Kami terpaksa mengambil masa sedikit kerana keadaan mangsa yang tersepit, bagaimanapun operasi menyelamat selesai pada jam 9 pagi,” katanya.

 Sangka kemalangan biasa

“Saya sangka ayah dan adik hanya kemalangan biasa, tak sangka rupanya kedua-dua mereka sudah meninggal dunia,” demikian reaksi menantu sulung mangsa, Ahmad Taufiq Baharuddin, 22.

Ahmad Taufiq berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh salah seorang rakan ayah mentuanya sekitar jam 7 pagi.

Tanpa mengesyaki apa-apa, dia segera bergegas ke lokasi kemalangan sebelum terkejut melihat keadaan kereta berkenaan.

“Saya ingat ia hanya kemalangan biasa, bila dah sampai sana, baru saya diberitahu ayah dan adik terkorban dalam nahas itu,” katanya.

Ahmad Taufiq berkata, sepanjang menghabiskan cuti di rumah mentuanya itu, kedua-dua arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan diri yang ketara.

Katanya, mereka sekeluarga masih terkejut dengan berita pemergian berkenaan.

Jenazah kedua-duanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungkai, petang semalam.
 
Guru berdedikasi

Sementara itu, Pengetua SMK Trolak, Shaharuddin Mohd Daud berkata, ketika kejadian, beliau dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum menyedari  kemalangan itu melibatkan guru  yang mengajar  di sekolahnya.

Katanya,  arwah yang baru lima tahun bertugas di SMK Trolak sering berulang alik dari tempat kerja dan rumahnya di Taman Permai Jaya, Sungkai.

“Arwah adalah seorang guru Bahasa Melayu, beliau tegas ketika mengajar anak muridnya, kami kehilangan seorang guru yang berdedikasi dalam tugasnya,” katanya. - SH.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.