[SEMASA] Cessna hilang kawalan kerana helang
HULU SELANGOR – Tiga juruterbang pelatih terselamat apabila pesawat Cessna 172 dinaiki mereka berjaya dielak daripada terhempas ke kawasan Empangan Batu Ulu Yam dekat sini sebaliknya terjatuh ke atas rumpunan pokok buluh.
Kesemua mangsa iaitu Saiful Farid Amri Amrizal, 22, Shaiful Zafiq Razali, 24, dan Syed Haidhar Syed Zulkiflee, 25, ditemui selamat berada di bawah sebatang pokok besar kira-kira 100 meter dari lokasi pesawat itu terhempas.
Saiful Farid cedera pada mata kiri, Shaiful Zafiq cedera di kepala manakala Syed Haidhar cedera di muka selain terseliuh pada kaki kiri.
Ketiga-tiga mangsa itu pelatih dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor.
Sebelum kejadian pada pukul 5.15 petang kelmarin, Syed Haidhar berkata, pesawat ringan dikendali Saiful Farid terkejut apabila melihat ada dua ekor burung helang cuba melintas menyebabkan pesawat itu cuba mengelak.
Selepas berjaya mengelak burung itu, pesawat itu secara tiba-tiba dilanda angin kencang menyebabkan pesawat tidak stabil.
“Kami cuba elak daripada terhempas ke kawasan empangan kerana takut nasib kami jadi lebih buruk dan usaha kami berhasil dengan pesawat itu kemudian terhempas di atas rimbunan pokok buluh sebelum menggelongsor ke bawah,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, semalam.
Katanya, kejadian cemas mengelak burung helang dan dilanda angin selama lima minit sangat mencemaskan.
Kata Syed Haidhar, pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi pukul 4.30 petang bagi menjalani latihan biasa dan dijadual melalui beberapa kawasan di Lembah Klang. - Kosmo.
Tiada ulasan: