[LUAR NEGARA] 28 cedera serangan bom di Bangkok
BANGKOK – Sekurang-kurangnya 28 orang cedera dalam satu serangan bom tangan terhadap para penyokong penunjuk perasaan antikerajaan di sini semalam.
Kumpulan penunjuk perasaan itu yang diketuai pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban, sedang berarak di Jalan Banthad Thong apabila seorang individu yang tidak dikenali melontar bom tangan ke arah mereka.
Serangan berlaku sekitar pukul 1 petang waktu tempatan.
Beberapa saksi memberitahu, bom tangan yang dilempar dari sebuah bangunan tiga tingkat di lokasi itu meletup kira-kira 30 meter dari tempat Suthep berada.
Sejumlah penunjuk perasaan cedera dan badan mereka berlumuran darah selepas serangan itu berlaku.
Menurut Pusat Perubatan Erawan di sini, seramai 28 penunjuk perasaan disahkan cedera dan dihantar ke empat buah hospital berhampiran untuk dirawat.
Thailand digegarkan dengan keganasan politik sejak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra digulingkan tentera dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada tahun 2006.
Ketika itu, terdapat dakwaan kerajaan pimpinan Thaksin dicemari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Adik Thaksin yang kini merupakan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berdepan demonstrasi jalanan sejak dua bulan lalu yang bertujuan memaksa kerajaannya meletak jawatan dan digantikan dengan pentadbiran Majlis Rakyat.
Penunjuk perasaan antikerajaan yang disokong golongan promonarki telah menguasai beberapa persimpangan utama di sini sejak Isnin lalu.
Yingluck sebelum ini mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada 2 Februari depan sebagai usaha untuk mengurangkan ketegangan dalam negara ini.
Namun, inisiatif beliau ditolak oleh pembangkang utama di Thailand, parti Demokrat yang memulaukan pilihan raya berkenaan kerana bimbang ia akan dimenangi oleh parti Yingluck, Puea Thai. – Agensi, Kosmo.
Tiada ulasan: