BONGKAR !!! Kecanggihan sut RoboCop 2014

Bagi generasi yang lahir sekitar 1980-an mahupun 1990-an pasti mempunyai kenangan tersendiri menjadi pengikut kepada karya berunsurkan ‘sci-fi’ atau sains fiksyen iaitu RoboCop.

Digilai dan sememangnya kebangkitan genre filem sebegitu pada era berkenaan menjadikan dunia semakin obses dengan teknologi apatah lagi karya itu dipersembahkan secara realiti.

Diterbitkan kali pertama pada 1987, dua sekuel filem berkenaan kemudian menyusul pula iaitu RoboCop 2 pada 1990 dan RoboCop 3 pada 1993.

Mengangkat kisah manusia normal yang bertugas sebagai polis, seorang lelaki terpaksa akur apabila demi mengembalikan semula hidupnya, dia perlu memakai sarung robot buat selamanya.



SUT warna hitam kelainan terbaru filem ‘remake’ itu.

Berbekalkan imaginasi yang sangat menarik, pengarah RoboCop pertama Paul Verhoeven itu berjaya meninggalkan impak tersendiri apabila tampil idea bukan adiwira sebaliknya manusia biasa diberikan peluang istimewa.

Berikutan berbisanya kisah itu sehingga sekarang apabila masih disebut-sebut manakala generasi baru pula tidak sempat merasa sendiri gelombang kegemilangan RoboCop dulu, versi terbaru RoboCop 2014 pula dihasilkan.

Pastinya disuntik dengan elemen kontemporari dan sejajar dengan kemajuan industri kreatif filem sekarang, filem ‘remake’ untuk RoboCop pertama itu nyata lebih dramatik serta segar.

Begitu juga dengan watak utama di mana aktor seperti Peter Weller (1983 & 1990) dan Robert John Burke (1993) mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dipilih berdasarkan bukan populariti sebaliknya kebolehan mengangkat watak itu.

Untuk ‘remake’ filem itu kali ini juga, aktor kelahiran Sweden-Amerika, Joel Kinnaman, ternyata bukanlah antara nama yang cukup dikenali namun diberi kepercayaan meng­galas watak dinamakan Alex J Murphy terbabit.

Diarahkan pengarah kelahiran Brazil Jose Padilha, ironinya filem berkenaan bertapak di Amerika Syarikat dan meneliti profil pengarah berkenaan ternyata dia hanya memulakan karier pengarahan bermula 2002.

Syarikat Screen Gems membuat pengumuman mengenai penerbitan semula filem berkenaan pada 2005 namun menemui kepincangan sementara apabila tahun berikutnya filem itu dibatalkan.

Awalnya mempertanggungjawabkan Darren Aronofsky dan David Self untuk mengarah serta menulis cerita itu, bagaimanapun 2010 menarik diri sebelum 2011 Padhila diberikan kerusi pengarah.

Saban tahun, pembikinannya filem itu ditangguh banyak kali sehinggalah akhirnya pada 2012, Metro-Goldwyn-Mayer Columbia Pictures (MGM) mengumumkan secara rasmi memilih 2013 untuk menayangkan filem berkenaan.

Bagaimanapun, ia ditangguh lagi dan akhirnya ditayang­kan tahun ini di mana RoboCop 2014 sudah masuk ke panggung bermula hari ini dan turut ditayangkan di pawagam IMAX.


Kinnaman bermandi peluh

Apa yang pasti, dalam filem terbaru itu paling menarik perhatian semestinya sut dipakai watak Alex J Murphy yang berwajah baru mengenakan warna hitam pula selain reka bentuknya yang menarik.

Jika melihat kepada ‘trailer’ saja, sut itu digambarkan sangat hebat dengan teknologinya jauh lebih maju apabila sistem perkomputerannya mampu mengatasi sistem lain daripada pelbagai sudut.

Bagaimanapun, merasai sendiri pengalaman me­nyarung lama sut itu, Kinnaman mengakui ia tidak seindah yang bakal dilihat penonton kerana banyak masa dia sebenarnya tidak selesa mengenakan sut itu.

“Pertama kali saya menyarung sut berkenaan, cuaca di Los Angeles ketika itu memang sedang berbahang dan bayang­kanlah bagaimana saya yang berada dalam sut tebal itu.

“Memang sangat tidak selesa dan setiap masa menggaru sana-sini. Sut itu sangat berat sehingga menolak jatuh bahu saya.

“Sudah basah lencun saya berpeluh-peluh dalam sut itu sehingga 20 minit saja bertahan, saya minta kebenaran untuk menanggalkan­nya,” katanya.

Kerenah Kinnaman itu juga turut menarik perhatian rakan pelakonnya Michael Keaton yang melakonkan watak Raymond Sellers di mana secara peribadi meskipun dia mengagumi Kinnaman namun takkan simpati padanya.

Mana tidaknya, dia yang pernah menyarung sut Batman pada 1989 dan 1992 sudah terlebih dulu merasa semua itu namun tidak menyangkal pengalaman menyarung sut sebegitu memang menyeksakan.

“Saya adalah jenis yang sukakan kopi, makan pelbagai jenis vitamin dan kuat minum air namun apabila menyarung sut berkenaan, saya tidak dapat buat semua itu demi mengelakkan pergi ke tandas berulang kali.

“Saya jenis mudah sesak nafas dan berada dalam sut itu sebenarnya membuatkan saya jadi panik. Memang sangat-sangat menakut­kan!” katanya.

RoboCop 2014 mengisahkan seorang pegawai polis ditimpa kemalangan paling teruk apabila keseluruhan anggota badannya hampir musnah selepas terbakar akibat keretanya meletup.

Kebetulan sebuah syarikat gergasi sedang mencari penye­lesaian terbaik sebuah teknologi ciptaan terbaru mereka dan melihat kemalangan Alex Murphy itu sebagai satu kesempatan.

Bermulalah hidup Alex menjadi seorang manusia robot yang mana dalam pada berkhidmat untuk membanteras kejahatan, dia turut tercari-cari punca sebenar bagaimana dia boleh terbabit dalam rancangan itu. - myMetro.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.