BONGKAR !!! Kemewahan mengheret ke penjara

POKOK SENA - Seramai lapan banduan berbangsa Cina dari Penjara Pokok Sena diraikan dalam Program Jalinan Kasih Sempena Tahun Baru Cina di dewan penghuni penjara itu, semalam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengarah Penjara Pokok Sena, Penolong Komisioner Penjara, Faridon Md Saad dan disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Seorang banduan yang dikenali sebagai Ah Lee, 42, dari Kangar, Perlis berkata, dia sungguh terharu dengan majlis seperti ini kerana mendapat berjumpa dengan ibu serta abang dan anak saudara yang berkunjung meraikan majlis itu.

Menurutnya, semenjak dipenjarakan, perjumpaan ini merupakan kali kedua dengan keluarganya selepas kali terakhir pada 2006 dalam majlis yang sama.

“Walaupun kehidupan saya akan berakhir di dalam penjara ini sepanjang hayat tetapi mereka tetap datang dan memberi sokongan untuk meneruskan kehidupan serta masih menyayangi serta tidak putus tali persaudaraan,” katanya yang kini menjalani hukuman sepanjang hayat kerana merompak menggunakan senjata api.

Ah Lee berkata, dia kesal dengan tindakannya selama ini kerana terlalu mengejar kemewahan serta suka berhutang kepada ah long menyebabkannya mengambil tindakan nekad untuk merompak kedai emas hingga ditangkap dan dipenjarakan.

“Semuanya berpunca untuk mencari kehidupan yang mewah hingga saya sanggup berhutang kepada ah long.

"Sejak itu ah long sentiasa memberi tekanan kepada kehidupan saya dan menyebabkan saya mengambil tindakan nekad merompak hinggalah dipenjarakan dalam usia 28 tahun lagi,” katanya.

Bagi Ah Yee, 33, dari Pokok Sena, kemewahan hidup menyebabkannya turut terjebak hingga sanggup menjadi pengedar bagi meraih pendapatan yang lumayan.

Katanya, semasa menjadi pengedar dia mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sehari dan langsung tidak memikirkan hukuman yang akan dihadapinya itu.

“Selain daripada mahu hidup mewah, kawan-kawan juga menyebabkan saya terpengaruh hingga pada suatu malam saya diekori oleh pihak berkuasa hingga tertangkap dan ditahan serta dihukum penjara selama 10 tahun dan 10 sebatan,” katanya.

Bagaimanapun kehadiran ibunya yang tua seorang diri melawatnya memberi keinsafan kepadanya untuk mengubah kehidupan apabila keluar nanti.

"Kehadiran ibu memberi kekuatan kepada saya untuk bersabar dalam menjalani kehidupan dalam penjara.

“Kesan 10 rotan di paha yang masih berparut akan menjadi kenangan pahit buat diri saya supaya ia dapat mengubah nasib hidup ketika keluar nanti dan tidak akan melakukannya lagi,” katanya.

Sementara itu, Faridon Md Saad berkata, tujuan majlis diadakan untuk merapatkan hubungan penghuni di penjara ini dengan keluarga mereka.

Katanya, peranan keluarga juga penting dalam memulihkan kehidupan mereka selepas melakukan kesalahan pada masa lalu.

"Kedatangan keluarga ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa banduan di sini masih diterima oleh keluarga mereka.

“Selain itu, Jabatan Penjara juga mahu mengikis tanggapan masyarakat selama ini bahawa banduan yang masuk di penjara hanya dikurung begitu sahaja tetapi sekarang saya mahu memaklumkan Jabatan Penjara juga berperanan mendidik mereka pulang ke pangkal jalan,” katanya. - SH.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.