Sanggup 'berpuasa' beli shisha stick



KUANTAN - “Tak ada manfaat pun hisap benda ni, lepas habis, baru terfikir sangat membazir duit dan tiada kebaikan langsung,” kata Adam, 12, yang mengaku mula menghisap Shisha stick selepas Ramadan lepas.

Katanya, dia mengenali shisha stick selepas diperkenalkan rakannya yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di pinggir bandar.


“Dia akan tolong belikan pada kawan-kawan lain dan tidak mengambil untung. Dia juga ada beritahu saya, penjual tidak mempamerkan shisha di dalam kedai sebaliknya perlu dimaklumkan pembeli,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, perbuatan berkenaan dianggap membazir kerana tiada sebarang manfaat dan hanya membakar duit.


Katanya, shisha stick tiada isian semula dan mereka perlu membeli shisha  namun dia hanya sempat mencuba satu perisa sahaja kerana perbuatannya disedari ibunya selepas beberapa minggu.


“Saya diperkenalkan dengan perisa strawberi dan tempoh masa habis isinya bergantung pada kekerapan menghisapnya,” katanya.Adam juga mengaku menyimpan duit yang dibekalkan ibunya sebanyak RM3 atau RM4 sehari untuk membeli shisha stick dari rakannya dan lebih seminggu dia ‘berpuasa’ di sekolah semata-mata mahu mencuba rokok moden itu.


Adam berkata, dia diberitahu shisha itu mempunyai empat perisa iaitu karamel, strawberi, buah-buahan campuran, coklat dan anggur dan perisa berkenaan boleh dilihat pada warna pembalut shisha.


“Tapi ada juga murid perempuan yang hisap dan mereka letakkan dalam beg saja ketika di sekolah,” katanya.


Seorang lagi pelajar perempuan, Yuhanis, 14, mendakwa pernah menghisap vapor milik rakannya yang dibeli dengan harga lebih RM150 tanpa diketahui ibu bapa mereka.


“Isian tu dalam botol kecil saja, tapi mahal, tak rasa apa-apa pun,” katanya yang mengaku mencuba sekali sahaja.


Katanya, rakan-rakanya membeli vapor berkenaan dengan duit raya yang diterima ketika sambutan hari raya lalu.


“Kalau nak pergi beli, kami tak boleh beli sendiri sebab bawah umur, jadi kawan akan minta rakan yang berumur lebih 18 tahun untuk mendapatkan vapor dan isiannya,” katanya.


Yuhanis  berkata, dia hanya ingin mencuba tetapi mengakui perbuatan berkenaan sangat membazir kerana hanya keluar asap dan tidak mengenyangkan.


Sinar Harian semalam melaporkan Jabatan Pendidikan negeri mengakui mengesan pelajar di beberapa sekolah yang terjebak dengan Shisha stick dan mengambil langkah drastik dengan member kaunseling kepada mereka.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.