Punca Sherry Ibrahim kena maki


GARA-gara watak yang dibawakannya dalam drama bersiri Cinta Ibadah, pelakon Sherry Ibrahim telah dikecam dan dimaki hamun oleh segelintir peminat di laman sosial.

Watak Dr Irma yang dipegang Sherry itu ternyata menjadi kerana ramai peminat menyatakan rasa tidak puas hati dan meluat dengannya sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata tidak enak kepadanya.

"Pada awalnya, karakter Dr Irma sangat digemari ramai kerana sifatnya yang baik. Namun, di pertengahan cerita, terdapat perubahan watak ke atas Dr Irma yang mana wataknya itu berubah menjadi antagonis.

"Dr Irma akhirnya menjadi penghancur rumah tangga Hafiz, Siti dan Rina yang dilakonkan oleh Fattah Amin dan Aishah llias.

"Kerana itu juga, saya menerima banyak reaksi daripada peminat di Instagram, Malah, ada yang komen 'b**i'. Itulah komen paling teruk saya terima. Tapi saya tahu semuanya kerana Cinta Ibadah, jadi saya tidak cepat melatah," katanya kepada Zass.

Meskipun terkesan, Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggap lakonannya itu sebagai satu kejayaan sekali gus mendatangkan rezeki kepadanya dalam meneruskan hidup.

"Apabila bawa watak antagonis, memang orang akan benci, bahkan, kadang-kadang setiap cemuhan yang diterima boleh menyebabkan kita sakit hati.

"Tapi, saya harus memandangnya daripada sudut positif, jika ada yang membenci maknanya karakter kita itu menjadi.

"Saya terima setiap komen daripada peminat, asalkan jangan ada yang membandingkan watak yang dibawa dengan diri saya yang sebenar," katanya.

Biarpun berjaya melaksanakan setiap watak dengan baik sekali, pelakon drama rantaian Eksperimen Cinta ini mengakui masih belum mencapai tahap kepuasan sebenarnya sebagai seorang pelakon.

Katanya, kepuasan adalah satu perkara subjektif dan sukar untuk dinilai.

Tambah pelakon berusia 32 tahun ini lagi, karier lakonannya semakin berkembang selepas membuat kemunculan semula menerusi drama bersiri Teduhan Kasih pada 2013.

"Alhamdulillah, rezeki saya masih ada dalam bidang lakonan. Tambahan pula, saya kini sudah berada di bawah naungan syarikat pengurusan baharu.

"Walaupun pada awalnya ia bergerak secara perlahan tetapi selepas beberapa ketika perjalanan seni saya semakin berjalan lancar.
"Bahkan, sehingga ke hari ini saya juga diberi peluang untuk bergandingan dengan pelakon baharu dan muda," katanya.

Jelajah bumi Romania

Dalam pada itu, kelibat Sherry bakal dilihat menerusi pembabitannya menerusi siri program realiti kembara, 'Awak Kat Mana’ bergandingan dengan pendatang baharu, Harris Baba, dalam misi menjelajah bumi Romania.

Teruja mengikuti program tersebut, Sherry menjelaskan sanggup melakukan apa saja untuk memenangi misi tersebut.

"Saya siap berpesan dengan Harris, kita datang untuk menang, jadi nak tak nak kami mesti menang.

"Semuanya kami lakukan sendiri demi menjimatkan wang RM10,000 yang kami dapat pada awal permainan. Paling kelakar, saya terpaksa ‘menjual’ Harris demi melayari Internet daripada telefon penduduk tempatan.

"Saya terpaksa lakukannya kerana orang lelaki di sana agak tidak senang dengan orang Asia, jadi terpaksalah Harris digunakan.

"Itu adalah antara pengalaman yang tak dapat saya lupakan sepanjang berada di sana. ,” akhiri Sherry sambil berseloroh.

Siri program realiti kembara Awak Kat Mana bersiaran sebanyak 13 episod setiap Khamis jam 9.30 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan RIA HD (saluran 123).

Dalam perkembangan lain, Sherry kini sibuk menguruskan perniagaan, pakaiannya di bawah nama Chenta Collection hasil kolaborasinya dengan bekas teman satu sekolahnya yang dikenali sebagai Yuki.

"Jenama Chenta merangkumi jualan baju, skirt dan tudung. Ia lebih kepada pakaian kasual yang sedia dipakai.

"Istimewanya, blaus dan skirt labuh yang dijual dipakai untuk wanita bertudung dan sebaliknya.

"Alhamdulillah, Chenta akan mengeluarkan koleksi keduanya, tidak lama lagi," katanya.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.