Malaysia boleh pecah dominasi Thailand

Meraikan kejayaan pungutan emas Sukan Sea 2015 Singapura.

MENGGANTUNG bola kemudian membuat libasan dengan tepat menuju sasaran antara latihan asas dilakukan pelibas berbakat negara, Mohd Khairol Zaman Hamir Akbar.

Inilah rutin harian dilakukan anak kelahiran Negeri Sembilan bagi memastikan tahap rejamannya sentiasa membuahkan mata apabila turun beraksi.

Mula meminati sukan warisan ini semenjak berusia sembilan tahun dengan menimang bola pada peringkat awal sebelum bakatnya dikesan setahun kemudian nekad memastikan sukan tradisional ini kembali disegani.


Mula pamer kehebatan

Pernah dipalit peristiwa digantung setahun sebelum hukuman tersebut di kurangkan kepada tiga bulan kerana bertindak meninggalkan Liga Takraw Thailand (TTL) dan kem latihan skuad elit tanpa kebenaran pada 2013 ketika berusia 19 tahun, namanya kembali meniti di bibir peminat pada Kejohanan Istaf di Melaka, Februari lalu.

Bersama gandingan rakan sepasukan Farhan Adam, Hanafiah Dollah dan Syahir Rosdi sememangnya cukup mantap sekali gus menaikkan kembali nama Malaysia dalam arena sukan sepak takraw yang sebelum ini didominasi pasukan Thailand.


Bukan tugas mudah

Khairol Zaman yang turut tersenarai dalam regu negara menjulang pingat emas di Sukan Sea 2015 Singapura edisi ke-28 turut percaya sinar kegemilangan sepak takraw semakin kelihatan.

"Kemenangan tersebut nyata menyuntik semangat kami semua dalam memastikan sepak takraw kembali disegani pasukan lain.

"Bukan mudah untuk menamatkan kemarau 10 tahun kilauan emas dalam acara regu, Alhamdulillah kami berjaya lakukan," jelasnya.


Runtuh ego Thailand

Tanggapan sesetengah pihak mengenai  keunggulan  pasukan Thailand dalam sukan warisan ini yang sukar digugat, Khairol Zaman percaya ia mampu diatasi.

"Skuad regu negara kini masih dalam pembentukan untuk memastikan pingat emas dalam Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

"Menjulang emas di Singapura pastinya menyuntik motivasi kami semua, keserasian kian jelas dan kami percaya mampu mengegar di laman sendiri pada kejohanan edisi ke-29 nanti," katanya yang turut menyertai kejohanan Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) bagi memastikan tahap stamina dan momentum permainan.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.