BONGKAR !!! Misteri Harta Karun Pulau Nangka Bakal Terjawab


Misteri Harta Karun Pulau Nangka Bakal Terjawab

MELAKA: Persoalan mengenai kewujudan harta karun peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka bakal diketahui Rabu ini. 

EXCO Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan, berkata kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan dipercayai pintu tempat simpanan harta karun itu kini sudah 90 peratus dan dijangka selesai Rabu ini.  

"Kita percaya pintu ini akan berjaya dibuka dalam tempoh dua hari lagi seterusnya dapat memberi jawapan sama ada harta karun tersebut benar-benar wujud atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pencarian harta karun di Pulau Nangka di sini, hari ini.  

Beliau berkata, kerja-kerja pencarian harta karun itu dijalankan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd melalui kontrak selama empat bulan bermula Januari lalu hingga 30 April ini. 

Katanya, jika syarikat terbabit gagal menyelesaikan kerja-kerja mengorek itu dalam tempoh kontrak, kerajaan negeri akan menyerahkannya kepada syarikat lain.  

"Jika Smart Partnership International berjaya membuka pintu ini dan tidak menemui sebarang artifak, kita akan memberi mereka lanjutan masa untuk proses pencarian harta karun," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata pihaknya menjalankan kerja-kerja menebuk dinding batu secara intensif selama 24 jam sehari membabitkan 36 pekerja.

"Sehingga kini, kami masih belum menemui apa-apa tanda dan jika sebarang artifak atau harta tersebut ditemui kami akan maklumkan segera dalam satu sidang akhbar khas," katanya.  

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Gzali Khan Shahadat, berkata pihaknya melalui Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am akan bertugas menjaga kawasan itu jika terdapat penemuan artifak atau harta berkenaan.

Pulau Nangka adalah sebuah pulau tidak berpenghuni berkeluasan kira-kira 20 hektar dan terletak 4 kilometer dari Pulau Besar, Jasin. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.