BONGKAR !! Gaji RM2,500 pun tak cukup??

KUALA LUMPUR – Satu kajian oleh syarikat pengambilan pekerja dalam talian, JobStreet.com mendapati kebanyakan siswazah yang baru mendapat pekerjaan di Malaysia berdepan kesukaran untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan gaji bulanan sebanyak RM2,500.

Menurut kajian yang melibatkan 2,062 responden itu, sebanyak 77 peratus daripada mereka memberitahu tidak mempunyai baki wang mencukupi untuk membuat simpanan kerana terpaksa menampung perbelanjaan keperluan.

Kajian turut menunjukkan sebanyak 63 peratus daripada mereka menjelaskan bahawa barangan keperluan yang dimaksudkan itu ialah pinjaman kereta dan pendidikan serta kos pengangkutan yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak di pasaran.

“Kira-kira RM1,500 daripada pendapatan bulanan mereka telah dibelanjakan ke atas keperluan tersebut dan untuk menjimatkan kos, separuh daripada mereka tinggal bersama ibu bapa, manakala 30 peratus lagi menyewa secara berkongsi bersama rakan dan 20 peratus sahaja yang membuat keputusan tinggal berseorangan.

“Kajian itu juga mendapati 87 peratus daripada responden tidak memiliki pendapatan sampingan selain pendapatan bulanan mereka, dan disebabkan itu kebanyakan mereka meminta gaji yang tinggi sewaktu sesi temu duga,” menurut kajian tersebut.

Kajian ke atas responden yang terdiri daripada siswazah yang baru mendapat pekerjaan di seluruh negara itu dilakukan pada Mac lalu.

Syarikat JobStreet.com menyediakan perkhidmatan pekerjaan dalam talian yang memaparkan lebih 150,000 iklan pekerjaan sebulan dan memiliki pangkalan data lebih 11 juta pencari kerja. - Kosmo.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.