Pasangan ini berkhalwat kerana stres


JOHOR BAHRU – Seorang janda anak satu antara 13 pasangan yang ditahan selepas disyaki berkhalwat atau berdua-duaan tanpa sebarang ikatan sah di bilik hotel dalam operasi khalwat sempena Ops Ambang Merdeka di sekitar bandaraya ini, awal pagi kelmarin.

Dalam operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), wanita warganegara Indonesia berumur 37 tahun dan bekerja di sebuah kilang elektronik di bandar ini ditahan bersama lelaki senegaranya berumur 33 tahun.

Pasangan berkenaan turut mengambil masa lama untuk membuka pintu meskipun diminta beberapa kakitangan penguat kuasa JAINJ untuk berbuat demikian sebelum lelaki berkenaan dilihat tidak berbaju, manakala pasangan khalwatnya sedang berkunci di bilik mandi.

“Sumpah, demi Allah baharu sekali kami melakukannya (bersetubuh),” ujar lelaki berkenaan yang bekerja sebagai buruh binaan di Gelang Patah, di sini sejurus ditahan di hotel bajet yang disewa bersama janda tersebut.

Kesemua ditahan dalam dalam operasi selama tiga jam yang bermula 12 tengah malam itu hingga 3 pagi membabitkan tiga lokasi panas melibatkan hotel bajet yang menjadi persinggahan mereka yang kemaruk ‘cinta ambang merdeka’.
Mahu banteras aktiviti tak bermoral

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, serbuan yang dijalankan bersama 20 penguat kuasa ibu pejabat dan daerah JAINJ bagi mencegah aktiviti tidak bermoral sempena malam ambang merdeka.

Menurutnya, tindakan menggempur hotel bajet itu bukan saja menahan pasangan muda, tetapi turut membabitkan pasangan suami dan isteri orang, selain ada juga yang bersama pasangan bukan Muslim.

“Tujuan utama kita mengadakan operasi ini supaya sambutan Hari Kemerdekaan ini tidak dicemari dengan aktiviti tidak bermoral khususnya membabitkan umat Islam serta membersihkan tanggapan masyarakat terhadap hotel bajet yang menjadi lokasi tidak bermoral.

“Kita lihat ramai masyarakat Islam terutama kalangan muda mudi gemar mencari hotel murah dan kita nak ubah pandangan negatif ini supaya mereka tahu hotel bajet bukan tetap menjadi sasaran operasi penguat kuasa agama.

“Malah usaha dilakukan ini kerana kita tidak mahu aktiviti tidak bermoral dilakukan di hotel seperti ini, selain akan melakukannya secara berkala” katanya.

Mohd Hafiz berkata, kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, Setia Indah dan Johor Jaya untuk mengambil keterangan sebelum ke pejabat JAINJ untuk tindakan selanjutnya dan bagi pasangan yang sudah berkahwin, mereka akan dijamin oleh pasangan masing-masing, manakala bagi yang belum berkahwin, jaminan dilakukan ahli keluarga mereka,” katanya.


Beri alasan stres

Sementara itu di KLUANG; sepasangan kekasih menggunakan alasan ‘stres’ untuk melepaskan diri daripada ditahan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) cawangan Kluang dalam operasi bersepadu yang dijalankan sempena sambutan Ambang Kemerdekaan, awal pagi semalam.

Walaupun memberikan alasan menghadapi tekanan dalam perhubungan mereka dan ingin menyelesaikannya dalam bilik hotel tersebut, ia tidak mampu untuk mengaburi anggota JAIJ bagi membebaskan pasangan berkenaan.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Mohd Noor berkata, pasukan penguat kuasa yang diketuai oleh Anuar Kosnin mengambil masa selama lebih kurang lima minit untuk pasangan tersebut membuka pintu bilik selepas pihaknya memperkenalkan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati pasangan ini merupakan seorang yang berstatus duda berumur 34 dan janda berusia 36 tahun itu tidak mempunyai hubungan muhrim.

“Duda yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor Bahru itu memberikan alasan dirinya hanya menemani kekasihnya itu bagi menenangkan diri kerana mempunyai banyak masalah.

“Kekasihnya yang berasal dari Sarawak itu datang ke Kluang semata-mata mahu berjumpa anak lelaki berkenaan yang tinggal di Felda Kahang Timur,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pasangan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 27(1a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1987 kerana berkhalwat yang membolehkan dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, pasangan tersebut di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Kluang untuk laporan tangkapan sebelum diikat jamin oleh keluarga masing-masing.

“Mereka berdua juga diarahkan untuk melapor diri di Pejabat Agama Daerah Kluang esok (hari ini) untuk diambil keterangan masing-masing selain diberikan kaunseling,” katanya.

Operasi Sambutan Ambang Merdeka yang dilaksanakan itu telah disertai seramai 60 pegawai serta anggota IPD Kluang, Jabatan Imigresen Kluang dan Jabatan Agama Daerah Kluang dan  diketuai oleh Asistan Supretendan Mohd Saad Ismail.


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.