TERBONGKAR !!! Pintu rahsia di sebalik peti sejuk

SERDANG – Jika dilihat dari luar, ia hanya kedai makan biasa namun siapa sangka di sebalik peti sejuk menyimpan minuman, tersembunyi satu pintu laluan menghubungkan pengunjung dengan sebuah pusat siber haram.

Rahsia terbabit terbongkar apabila sepasukan anggota Balai Polis Seri Kembangan diketuai Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz menyerbu premis di Seksyen 7, Serdang Raya malam kelmarin.

Pusat siber haram itu terletak 200 meter dari Masjid Nurul Islah dan kewujudannya menimbulkan rasa kurang selesa kariah serta jemaahnya.

Difahamkan, pusat siber itu menjadi lubuk pekerja asing warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan India berjudi pada malam minggu.

Tiada warga tempatan dalam premis ketika ia diserbu.

Pengunjung dikatakan mempertaruhkan wang hampir RM300 sehari kononnya memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM150,000 ditawarkan pengusaha.

Namun tuah yang dicari mengundang malang kepada kaki judi apabila kesemua mereka termasuk penjaga premis diangkut ke balai polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kewujudan premis daripada orang awam yang rimas dengan kewujudannya.

Katanya, pengusaha dipercayai menyewa premis kedai itu namun menyewakan bahagian depan kepada peniaga makanan bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan haram di bahagian belakang kedai.

“Aktiviti haram mereka kita tahu juga dengan bantuan maklumat orang awam yang melaporkan mengenai pusat judi itu di balai polis,” katanya.

Seramai 11 warga asing yang leka bermain judi ditahan, pengusaha pula disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pihak polis turut merampas sejumlah wang tunai dan 36 set komputer berperisian perjudian yang digunakan di premis tersebut termasuk dua set komputer utama di kaunter. - SH.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.