Jumaat, 4 November 2016

Kontraktor ditemui lemah sebelum pengsan setelah 18 hari hilang




JENGKA - Selepas 18 hari hilang tanpa berita, ahli perniagaan berkaitan hasil buah sawit, ditemui selamat di sebuah sekolah rendah di Jerantut, pagi tadi.

Isteri beliau, Sazarina Mat Saad, 34, ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkhabaran itu dan kini berada di hospital menunggu suaminya, Mohd Shareman Mohd Shah, 36.

"Alhamdulillah dengan bantuan orang ramai yang dapat mengecam suami saya, akhirnya selepas 18 hari, suami kembali ke pangkuan saya dan anak-anak. Keadaan dia sekarang separa sedar dan masih dirawat. Kami tak berani tanya apa-apa lagi sebab dia nampak sangat penat.

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang membantu. Saya dapat panggilan daripada adik jam 7 pagi tadi kata suami dijumpai dekat Sekolah Kebangsaan Inderapura. Orang ramai nampak suami datang ke situ dalam keadaan lemah kerana berjalan kaki. Dia cari adik saya Mohd Fairuz yang mengajar di sekolah itu. Kemudian dia pengsan dan dibawa ke sini (hospital)," katanya.


Sazarina berkata, beliau, rakan-rakan suami dan keluarga sudah berhimpun di hospital sejak jam 8 pagi tadi bagu menunggu proses rawatan.

"Saya faham semua orang ingin tahu cerita suami tapi diharap berilah beliau ruang dahulu. Dia dalam keadaan separa sedar," katanya.

Mohd Shareman Mohd Shah, 36, dilaporkan hilang pada 17 Oktober lalu, selepas melakukan pengeluaran wang berjumlah lebih RM50,000 di dua bank berasingan di daerah ini.

Sehari kemudian, kenderaan jenis Ford Ranger yang dinaikinya ketika berurusan ditemui di belakang premis perniagaan di Bandar Temerloh bersama sebilah parang, di dalamnya.

Sazarina berkata, rutin sebegitu memang dilakukan suaminya setiap bulan untuk membayar gaji dan lain-lain namun pada hari tersebut, Mohd Shareman tidak menjemput beliau serta anak-anak di rumah kedua ibu bapanya di Felda Jengka 15, menyebabkannya membuat laporan polis pada sebelah malam, hari sama.

Rabu, 2 November 2016

Aksi pencabul berjaya dirakamAksi suspek melarikan diri selepas mencabul dua pelajar universiti yang berjaya dirakam mangsa.

Aksi suspek melarikan diri selepas mencabul dua pelajar universiti yang berjaya dirakam mangsa.

KAJANG – Polis mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang pelajar universiti berusia 22 tahun yang mendakwa dicabul seorang lelaki berhampiran sebuah kondominium di Bandar Sungai Long, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, video kejadian itu tersebar dalam laman media sosial sejak semalam.

Menurutnya, mangsa mendakwa diekori suspek ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewa bersama seorang rakannya kira-kira jam 3.30 petang.

Suspek yang mengekori dari arah belakang tiba-tiba menghampiri mangsa dan menyentuh bahagian punggungnya.

“Mangsa terkejut dan menjerit, dia bertanya kenapa suspek bertindak sedemikian. Suspek kemudian terus meraba bahagian dada kawan mangsa menyebabkan wanita itu pula menjerit.

“Suspek kemudian melarikan diri namun mangsa bertindak mengejarnya hingga keluar dari kawasan kondominium tersebut,” katanya.

Beliau berkata, operasi mengesan dan menangkap suspek giat dijalankan oleh pihak polis.

Kes disiasat bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh di hukum penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menyalurkannya kepada pihak polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut. Sinar.

'Kalau tak nak derma pun, tak payah lah tampar'



RAKAMAN seorang lelaki mendakwa seorang pengutip derma menipu dan menamparnya viral di laman Facebook hari ini.

Seorang pelayar yang memuatnaik video berkenaan mendakwa kejadian berkenaan berlaku di hadapan sebuah bank di Kuala Kangsar.

Menurut laporan portal tempatan, lelaki terbabit pada mulanya memarahi pengutip derma berkenaan yang mendakwa mengutip derma untuk pembukaan pondok agama dan jualan tanah wakaf.

Pengutip derma tersebut menafikan dia menipu untuk mengutip derma, selain mendakwa dirinya adalah wakil dari jabatan agama.

Walau bagaimanapun, lelaki yang memarahinya mempertikaikan kesahihan 'cerita' pengutip derma tersebut.

Lelaki itu kemudian menampar pengutip derma berkenaan sambil mencabar pengutip derma terbabit datang semula dan membawa wakil pejabat agama.

Video berkenaan yang dikongsi lebih 3,000 pelayar menarik reaksi berbeza.

Segelintir pelayar menganggap lelaki berkenaan bertindak keterlaluan dengan menampar pengutip derma terbabit.

"Tak mau derma sudah...tak payah la tampar," kata Mohd.

"Kesiannya. Kalau taknak derma, tak payah la layan. Jalan je," kata Shahirah.

"Saya (bagi) viral sebab hak menghukum bukan pada kita. Kita derma pahala sedekah kita dapat. Tu bahagian kita. Kemana duit sedekah tu pergi, tu urusan dia dengan ALLAH," kata individu yang memuatnaik video berkenaan.
Dikuasakan oleh Blogger.