Sabtu, 14 November 2015

Arul... Kalau berani ayuh debat! Rafizi tunggu jawapan Arul


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berharap Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tidak berdalih lagi selepas menyatakan kesediaan untuk berdepan sesiapa sahaja di hadapan penyokong Umno, hari ini.

Menurutnya, jika Arul menolak cabaran debat itu sekali lagi, beliau menganggap Arul bukan seorang ahli profesional.

"Saya berharap kesediaan saya melayan kembali ego Arul Kanda tanpa syarat ini akan disambut oleh beliau. Jika beliau berdalih sekali lagi dan memberi pelbagai alasan, saya beranggapan beliau pun tidak berbeza dengan ahli-ahli politik Umno yang hanya berani mendabik dada di gelanggang sendiri di depan penyokong sendiri.
"Maka saya nasihati beliau menyertai Umno secepat mungkin. Saya akan menunggu maklumbalas beliau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[BACA SINI: ]

Arul hari ini berkata, beliau bersedia memberi penerangan mengenai agensi pelaburan milik kerajaan yang dibebani hutang itu kepada sesiapa yang berminat, termasuk Rafizi dan Setiausaha Publisiti, DAP Tony Pua.

"Kami (1MDB) akan berjumpa dengan sesiapa saja yang mahu memahami lebih lanjut (tentang syarikat berkenaan), termasuk Rafizi dan Tony," beliau dipetik sebagai berkata di Majlis Penerangan Perdana 1MDB, Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) dan Bajet 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Menurut Rafizi lagi, beliau akan menulis secara rasmi hari ini kepada Arul mengenai tawaran debat itu.

"Oleh kerana beliau telah menyatakan secara terbuka kesediaan untuk berdepan dengan saya, maka saya akan menyahut kesediaan itu," katanya.

Rafizi menambah, beliau akan  menulis secara rasmi kepada Sinar Harian hari ini untuk menjadi penganjur bebas kerana Sinar Harian telah beberapa kali mengadakan wacana yang menemukan pimpinan BN dan Pakatan Harapan.

"Format dan segala peraturan perdebatan adalah terpulang kepada Sinar Harian," katanya.

[BACA SINI: ]

Sebelum ini, stesen TV RTM membatalkan tawaran untuk mengadakan debat bersiaran secara langsung antara Arul dengan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua setelah Pakatan Harapan menukar Tony dengan Rafizi.

Tony terikat dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk meneruskan debat 1MDB itu susulan kedudukannya dalam PAC.

Jumaat, 13 November 2015

Langgar arahan polis, pemandu lori ini nekad rempuh plaza tol


BENTONG: Seorang pemandu lori berusia 35 tahun ditahan polis selepas merempuh Plaza Tol Bentong petang tadi.


Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada jam 2.25 petang dan pemandu berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Pada jam kira-kira 1 petang, beberapa buah lori telah diberitahu tidak dibenarkan melalui plaza tol berkenaan namun mereka berkeras mahu masuk. Mereka suruh buka pintu tol supaya mereka boleh melaluinya," kata Mohd Mansor kepada pemberita di sini, hari ini.

"Pada jam 2.15 petang, seorang pemandu lori tidak mengendahkan arahan polis dan merempuh tol berkenaan," tambah beliau.

Jelas Mohd Mansor, polis telah menasihati pemandu berkenaan agar tidak melalui jalan berkenaan kerana ia masih tidak selamat untuk pengguna jalan raya.

Beliau berkata pemandu berkenaan kemudiannya ditahan polis dan kesnya akan dibawa ke mahkamah secepat mungkin.

"Kita tidak mahu kemalangan berlaku kerana tindakan yang melulu."

Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan nekad merempuh plaza tol kerana terdesak untuk menghantar muatan.

Sementara itu, Mansor juga meminta agar pembonceng motosikal menepati arahan polis demi menjamin keselamatan mereka.

Susulan kejadian banjir lumpur berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 6.30 petang Rabu, lorong di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup sejak semalam bagi kerja-kerja pembersihan lumpur.

Awani

Dikuasakan oleh Blogger.