Khamis, 8 Oktober 2015

Ilham Centre dakwa operasi PAS lumpuh di Johor

KUALA LUMPUR: Penubuhan Parti Amanah, terutamanya di Johor, menyebabkan pergerakan parti PAS lumpuh.


Kajian Ilham Centre mendapati pemimpin pengganti PAS di Johor tiada pengalaman untuk menerajui parti berkenaan.

"Kedudukan PAS goyah biarpun mereka mendakwa tidak terkesan (dengan penubuhan Amanah) kerana semua perjawatan diganti dengan individu lain.

"Menyedari hakikat itu, individu yang jadi pengganti tiada pengalaman, tidak pernah berorganisasi malah tidak pernah menggerakkan PAS di peringkat negeri mahupun cawangan," kata Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu.

Tambah beliau, PAS dilihat tidak mampu beroperasi secara formal sepertimana pilihan raya sebelum ini memandangkan tokoh yang menggerakkan parti itu kini sudah tiada.

Hasil daripada kelemahan yang ada pada pembangkang ketika ini, UMNO dianggap mempunyai peluang baik untuk mengukukuhkan kedudukan di selatan Semenanjung.

"Biarpun wujud parti baharu dengan jenama baharu dan pola pengundian orang Melayu yang sukar berubah, keadaan ini memberi kelebihan pada UMNO walaupun UMNO sendiri kini dibebani pelbagai isu," katanya.

Malah, pemikir strategi UMNO dinasihat agar terus berusaha untuk memenangi hati rakyat.

"Kalau UMNO gagal yakini pengundi, mungkin berlaku undi protes yang menjadi bonus buat pembangkang.

"Dari situ, kejayaan parti pembangkang bukanlah hasil kekuatan mereka, tetapi akibat kegagalan UMNO untuk mengurus krisis dan juga apa yang berlaku pada parti pemerintah sekarang," tambahnya.

Rabu, 7 Oktober 2015

M'sia perlu kelulusan Parlimen sebelum tandatangan TPPA


Malaysia perlu mendapatkan kelulusan Parlimen sebelum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Bercakap dalam satu sidang media mengenai TPPA di Putrajaya hari ini, beliau menegaskan biarpun rundingan bagi Pakatan Trans-Pasifik (TPP) telah dimuktamadkan, namun Malaysia sebaliknya masih belum menandatangani perjanjian berkenaan.
Malah, katanya, dokumen teks TPP itu hanya dijangka siap pada akhir bulan ini.
"(Dokumen) TPP itu perlu dibentangkan dan dibahaskan terlebih dulu untuk diluluskan. Ini adalah proses lazim di semua negara terbabit," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Mustapa untuk merundingkan kepentingan Malaysia pada rundingan berkenaan.
Usaha rundingan TPPA itu yang pertama kalinya dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Jelas Mustapa, dokumen akhir TPPA itu beserta dua lagi analisis kos dan manfaatnya yang disediakan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers Malaysia, juga akan dikemukakan kepada Kabinet dan Parlimen.
Tegasnya, beliau sendiri mahu membentangkan TPP di Parlimen dan mungkin memohon agar diadakan Persidangan Khas Parlimen untuk menjelaskan butiran mengenai perjanjian perdagangan itu, jika perlu.
Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan Speaker pada minggu pertama sidang Parlimen akan datang mengenai tarikh serta masa untuknya membentang serta menerangkan kepada Ahli Parlimen berhubung pendirian Malaysia terhadap TPP berkenaan.
"Ini bergantung kepada Speaker... (pembentangan) Bajet 2016 perlu diutamakan terlebih dulu sebelum kita dapat berurusan mengenai perkara lain," katanya.
Mustapa turut mengakui bahawa mustahil untuk mendapatkan persetujuan 100 peratus mengenai TPPA berkenaan dan ia hanya memerlukan majoriti mudah bagi kelulusan perjanjian perdagangan itu.
Jelasnya, biarpun selepas mendapat kelulusan Parlimen, tempoh dua tahun diperlukan bagi pengesahannya yang turut memerlukan usaha pindaan undang-undang berkaitan tanpa menjejaskan Perlembagaan sebelum TPPA dapat dilaksanakan.
Menurutnya, cabaran utama adalah untuk meyakinkan kalangan ahli Parlimen mengenai kepentingan menandatangani TPPA bagi manfaat jangka panjang, termasuk aspek pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan untuk negara.
Ditanya sama ada beliau yakin ia akan mendapat sokongan ahli Parlimen, Mustapa berkata : "Pada awalnya, memang sukar untuk meyakinkan mereka (termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional) tetapi kini mereka lebih faham dan usaha lebih gigih diperlukan bagi meraih lebih banyak sokongan."
Menurutnya, Kabinet juga telah mengarahkan kementeriannya untuk mengadakan lebih banyak sesi penerangan bagi menjelaskan TPPA kepada orang ramai.
Setakat ini, lebih 150 sesi seumpamanya diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas serta kebimbangan mereka yang disifatkan Mustapa sebagai penting bagi usaha rundingan itu.
"Kita juga mengadakan pertemuan yang kerap dengan Kumpulan Kaukus Parlimen mengenai TPP yang bipartisan bagi memaklumkan mereka mengenai perkembangan terkini rundingan," katanya yang turut memberi jaminan kerajaan bersikap telus dan terbuka mengenai rundingan TPP berkenaan.
Kabinet juga katanya, turut mahukan kepentingan mengenai kos menyertai TPPA serta tidak menandatanginya, turut diambilkira.
- Bernama

Seolah-olah ada 'tangan ghaib' tutup kesalahan isu 1MDB: Muhyiddin


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata titah Majlis Raja-Raja Melayu semalam yang mahu kerajaan menyelesaikan segera siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas, menunjukkan keprihatinan baginda sekalian terhadap kemelut yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat pada kerajaan.
"DYMM Raja-Raja, pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ia melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara," bekas timbalan perdana menteri itu dalam satu kenyataan.
"Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara," kata lagi.
Dalam kenyataannya juga, timbalan presiden Umno itu mendakwa seolah-olah terdapat "tangan ghaib" yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak tertentu berhubung perkembangan siasatan dan pendakwaan skandal itu yang dianggapnya "amat mendukacitakan".
"Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala.
"Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya.
Berikut adalah kenyataan penuh Muhyiddin:
Saya amat menyambut baik dan menjunjung kasih titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap piha-pihak yang terlibat.
Titah yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad semalam menunjukkan keprihatinan DYMM Raja-Raja terhadap kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
DYMM Raja-Raja, pada kebiasaannya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ia melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Apabila DYMM Raja Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara.
Titah DYMM Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.
Oleh kerana DYMM Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB perdana menteri selaku Ketua Kerajaan.
Tanggungjawab menyelesaikan isu ini akhirnya terpikul di bahu YAB perdana menteri sendiri.
Beliau mesti memastikan siasatan terhadap 1MDB oleh agensi-agensi berkaitan dijalankan secara telus, adil dan berkecuali tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak.
Lebih penting lagi, jika hasil siasatian mendapati terdapat pihak-pihak yang melanggar undang-undang, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan kadar segera tanpa rasa takut dan pilih kasih.
Sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB.
Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada peguam negara pada Ogos yang lalu.
Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah.
Saya khuatir, oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis.
Adalah wajar bagi peguam negara tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.
Mengambil semangat titah DYMM Raja-Raja berhubung kemelut 1MDB, agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dahulunya terlibat dalam Pasukan Petugas Khas siasatan terhadap 1MDB mesti diberikan ruang yang seluas-luasnya untuk meneruskan siasatan terhadap syarikat ini hingga selesai dan menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Begitu juga dengan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB.
Amat malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.
Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC.
Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.
Pada hemat saya, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan. Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala.
Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB.
Yang terbaharu ialah penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.
Seingat saya SOSMA adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan atau terrorisme.
Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat oleh sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan?
Adakah 1MDB kini telah menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi oleh pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu.
Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal. 1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara.
Memandangkan DYMM Raja-Raja telahpun bertitah menggesa kerajaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit, maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali.
Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya. Malaysia adalah sebuah negara yang berpaksikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berasaskan perlembagaan dan undang-undang negara dalam menyelesaikan kemelut 1MDB bukan sahaja akan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah mencemarkan nama Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.
Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara yang mutakhir ini, saya sering ditanya oleh pemimpin negara luar tentang isu 1MDB. Mereka berasa amat hairan dengan apa yang terjadi kepada negara kita.
Mereka tidak percaya sebuah syarikat pelaburan strategik negara menanggung hutang berbillion ringgit dan menghadapi masalah aliran tunai yang kronik sehingga tidak mampu untuk membayar hutang-piutang syarikat. Lebih malang jika wang dalam kantung syarikat ini juga telah lesap.
Malaysia adalah sebuah negara yang amat dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan diyakini oleh para pelabur dan pedagang di seluruh dunia. Janganlah kita biarkan kemelut 1MDB mencemarkan nama baik Malaysia. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Oleh yang demikian, amatlah wajar bagi kerajaan dan pihak berkuasa negara kita menjunjung sepenuhnya titah DYMM Raja-Raja Melayu supaya menyelesaikan segera kemelut 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Selasa, 6 Oktober 2015

Raja-Raja Melayu mahu siasatan 1MDB diselesai secepat mungkin


Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.
Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.

Ia berkata: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.
"Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia."
Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
Ia juga dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
"Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.
"Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Untuk itu, menurut kenyataan itu, badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.
Raja-Raja juga mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
"Raja-Raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing," menurut kenyataan itu lagi.
Baginda sekalian mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur.
Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.
"Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni," kata kenyataan itu.
- Bernama

PANAS ! Surat Terbuka Abdul Hamid Bador Kepada Kerajaan Malaysia


SURAT TERBUKA KEPADA KERAJAAN.


Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli keluarga, saudara mara, sahabat, jiran, serta anak Malaysia yang bencikan kemungkaran, yang tidak berhenti-henti memberikan galakan serta mendoakan keselamatan diri saya serta keluarga. Saya amat terhutang budi. Sesungguhnya galakan dan doa-doa suci inilah yang memberikan saya kekuatan dan keberanian untuk terus memerangi kemungkaran. Saya juga amat terhutang budi kepada pihak media kerana telah sudi memberikan ruang untuk menyiarkan rintihan hati kecil saya ini untuk tatapan rakyat Malaysia yang berasa amat terguris hati, marah, kecewa, hampa, geram serta terhimpit dengan "tingkahlaku tidak bertanggungjawab" pemimpin-pemimpin kerajaan sejak kebelakangan ini.

Sesungguhnya keputusan yang saya ambil untuk menulis SURAT TERBUKA KEPADA KERAJAAN ini adalah keputusan saya sendiri tanpa disogok atau dibatu-apikan oleh mana2 individu atau organisasi yang berkepentingan. Saya bertindak atas sifat sebagai seorang pegawai kerajaan yang TERANIAYA, disebabkan oleh pendirian saya tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang secara terang-terangan telah melakukan kesalahan besar kepada negara. 


Saya faham bahawa sebagai seorang pegawai bawahan saya terikat dengan beberapa peraturan yang melarang saya untuk menyuarakan apa2 kritikan terhadap kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan dari ketua jabatan. Saya juga faham bahawa satu bentuk tindakan disiplin boleh dikenakan ke atas diri saya. Malahan surat Beri Penjelasan 1 oleh Ketua Polis Negara telahpun saya jawab panjang lebar pada 15 Sept lalu. Tetapi di waktu yang sama saya juga sedar tentang hak dan tanggungjawab saya, yang jauh lebih besar dan suci, di bawah PERLEMBAGAAN dan UNDANG-UNDANG NEGARA untuk mempertahankan negara dari segala bentuk ancaman termasuk yang berkaitan dengan JENAYAH. Apatah lagi saya adalah seorang pegawai Polis Di Raja Malaysia yang telah mengangkat sumpah untuk berkhidmat dengan penuh kejujuran sebagaimana yang dikehendaki oleh AKTA POLIS. 


Oleh demikian dengan penuh keinsafan dan berbekalkan doa orangramai ini saya memberanikan diri untuk berusaha menegakkan kebenaran bagi menyelamatkan pertiwi dari ancaman manusia-manusia rakus yang sedang bermaharajalela memporakperandakan segala sistem pentadbiran sedia ada dan secara terang-terangan melanggar undang-undang bagi memuaskan nafsu buas mereka. Saya rasa terpanggil untuk tampil ke depan sekali lagi bagi bersuara kerana pihak yang bersalah dilihat belum insaf. Apalah pilihan yang ada pada saya untuk membuat aduan mengikut prosedur jabatan apabila hampir semua ketua-ketua jabatan terbabit dengan komplot membohongi rakyat sambil "merestui perlakuan jenayah" pemimpin-pemimpin tertinggi negara!!! 

"What choice do I have???". Perlu juga saya tegaskan di sini bahawa niat saya BUKANNYA UNTUK MENUMBANGKAN KERAJAAN. Niat suci saya hanya untuk MENEGAKKAN KEADILAN. Siapa yang bersalah maka dialah yang akan menerima padahnya di sisi undang-undang. Sesungguhnya undang-undang itu buta dari segi darjat dan kedudukan......tiada bezanya di antara seorang Pembantu Am Rendah dengan seorang Menteri......di antara seorang prebet dengan seorang general......di antara seorang konstabel dengan seorang komisioner dan di antara seorang peneroka FELDA dengan seorang jutawan terbilang!!! Jenayah tetap jenayah.

Ramai juga rakan-rakan saya yang ikhlas menyuarakan kebimbangan mereka tentang keselamatan diri saya. Ada di antara mereka yang menyarankan kemungkinan besar "hired killer atau killers" dari Selatan Thai telah diupah oleh "perompak-perompak" wang rakyat ini untuk membunuh saya. Insya Allah saya tidak sekali-kali akan berundur. Saya akur dengan KEAGUNGAN ALLAH SWT. Lagi cepat saya mati....lagi cepat mereka masuk jel dan digantung leher sampai mati. Jika saya gugur sekalipun saya yakin perjuangan saya ini tidak akan terhenti di situ saja. 


Ingin saya tegaskan di sini bahawa usaha saya ini bukannya bermatlamatkan untuk saya mendabik dada demi kemenangan. Usaha saya ini hanyalah untuk menegakkan keadilan. Saya lakukan semua ini semata-mata untuk menghambakan diri saya kepada rakyat bagi menyedarkan kerajaan bahawa keadaan negara semakin meruncing dan rakyat sudah loya melihat segala sandiwara yang dipersembahkan oleh pemimpin-pemimpin haprak ini. Jauh sekali niat di hati kecil saya ini untuk cuba menjadi jagoh atau mencari populariti. Saya bukannya manusia yang egoistik.....bukan seorang berdarah panglima.....seorang yang sudah besar kepala......atau JOBO, mengikut slang orang REMBAU. Saya hanya ingin berbakti pada pertiwi tercinta. Apabila sudah pencen nanti saya tidak akan menyesal kerana saya telah berusaha gigih menjalankan amanat Allah SWT.

Saya mendapat tahu bahawa usaha untuk menghakiskan kredibiliti saya sedang giat dijalankan oleh pucuk pimpinan Cawangan Khas yang ada sekarang. Saya digambarkan sebagai seorang yang kecewa dan selfish kerana tidak dilantik menjadi Pengarah Cawangan Khas. Kononnya saya tidak mengenang budi apabila permohonan saya untuk pencen awal telah ditolak oleh Ketua Polis Negara. Bila pulak saya memohon untuk pencen awal??? Saya menyeru kepada Dato Sri Fuzi Harun, Pengarah Cawangan Khas, supaya ingat pesanan arwah orangtua kita dulu......jangan berbohong dan jangan gadaikan maruah diri dengan membela orang yang terang-terang bersalah demi merebut jawatan. 


Seluruh peringkat organisasi Cawangan Khas didendangkan dengan cerita-cerita bohong yang kononnya saya ini "meroyan" dan seperti seorang yang "gila talak" selepas "ditendang keluar" dari Cawangan Khas. Oh...oh...oh...jauh sekali melesetnya pemikiran mereka. Sebenarnya saya bukan seperti mereka yang hanya suka dan pandai "menjilat" tulang-tulang yang dilemparkan oleh pemimpin politik haprak ini. Saya BELUM PERNAH MENCIUM TANGAN pemimpin-pemimpin haprak serta tangan isteri mereka.


Sebelum ini saya telah berkali-kali menzahirkan pendirian saya kepada anakbuah saya di dalam Cawangan Khas bahawa saya tidak rela meneruskan perkhidmatan dalam Cawangan Khas jika saya terpaksa bersekongkol dengan mereka untuk membohongi rakyat dengan kerja-kerja kotor demi menyelamatkan Perdana Menteri dan kuncu-kuncunya itu dalam kes "rompakan" wang 1MDB ini. Saya juga tidak mahu diperalatkan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri yang lagaknya seperti seorang gengster. Jika beginilah kotornya imejnya dua pemimpin tertinggi negara maka sebagai seorang pegawai polis yang masih bermaruah saya tidak sekali-kali ingin meneruskan khidmat saya dalam Cawangan Khas. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak lagi mahu berkhidmat dengan PDRM. Sebaliknya saya merayu kepada KPN supaya saya dikekalkan di Bukit Aman, paling tidak dalam Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) supaya saya boleh terus menyumbang secara positif kepada PDRM dalam hal-hal disiplin dan pembasmian rasuah.
  
Itu saja sebabnya yang saya berani berdiri berseorangan diri memerangi kemungkaran. Ingat ye....saya tidak pernah menghasut mana-mana warga Cawangan Khas untuk menyokong segala usaha saya menegakkan kebenaran. Mereka sudah matang dan boleh berfikir sendiri. Tepuk dada tanya selera. Semaklah semua rekod komunikasi saya. Sepatutnya Dato Sri tunjukkan kepimpinan yang baik dan bukannya memfitnah orang-orang yang terdahulu. Saya berjuang bersendirian tanpa ada bodyguard. Insya allah saya tidak memerlukan tenaga Unit Tindakan Khas dan outrider polis untuk menjaga keselamatan saya. I AM NOT A COWARD!!! Kepada Dato Sri Fuzi Harun saya menyeru supaya jangan membodek berlebih sangat. Kalau nak mengampu bos tu ampulah puas-puas. Insya allah bila tiba masanya nanti bolehlah Dato Sri sama-sama mengiringi beliau masuk jel......I Know What You Did Last Summer!!!

Semenjak pertemuan saya dengan pihak media pada 23 Ogos yang lalu saya telah menerima pelbagai nasihat, teguran, kritikan, dan juga ancaman dari individu-individu tertentu. Ada yang bersifat konstruktif dan tidak kurang juga yang bernada ugutan dan gertakan untuk menangkap saya. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang berniat baik. 


Kepada mereka yang berniat serong saya doakan juga agar Allah SWT memberikan mereka kesedaran dan peluang untuk kembali ke jalan yang diredhai. Jangan pula cuba untuk nak membabitkan sejarah perkahwinan saya dalam isu ini sebagaimana yang dilakukan Dato Rizal Mansor, pegawai khas 1st Lady tu, tempohari. Ibarat ayam jantan yang mengepak dan berkokok megah sedangkan buntutnya sendiri bersememeh dengan tahi. Bukan saja skandal Dato' Rizal itu boleh saya dedahkan malahan "cerita-cerita menarik" tentang bosnya Datin Sri Rosmah sendiri boleh saya riwayatkan di khalayak ramai. Afterall birds of the same feathers flock together. Oleh demikian janganlah sesiapa mahu cuba memutarbelitkan hal peribadi saya dalam JIHAD MENEGAK KEADILAN ini. Stick to the issue!!!

  Pada hari ini saya ingin mengambil kesempatan untuk membuat beberapa saranan atau gesaan penting kepada beberapa pegawai tertinggi kerajaan yang selama ini, secara sedar ataupun tidak, atau samada dengan penuh kerelaan atau secara keterpaksaan, telah terpalit dengan kontroversi isu 1MDB. Kedudukan kes ini sebenarnya bolehlah dirumuskan sebagai sesuatu yang SUDAH TERANG LAGI BERSULUH. Itulah kata-kata terakhir Tan Sri Gani Patail kepada saya sebelum beliau "dipecat". Saranan ini terpaksa saya buat kerana sesungguhnya majoriti rakyat telah berasa amat marah dan meluat terhadap tindak tanduk pegawai-pegawai tertinggi kerajaan ini yang secara terang-terangan telah menyalahgunakan kuasa. Sungguh menjijikkan tindak tanduk desprados ini untuk terus berkuasa dan mengelakkan diri dari MASUK KE DALAM JEL. Mereka sanggup berbuat apa saja untuk memastikan siasatan ini terhenti. Serentak dengan usaha itu mereka menggunakan strategi mengelirukan rakyat dengan mencipta skrip basi yang tidak masuk akal kononnya wujud konspirasi untuk MENGGULINGKAN KERAJAAN. Siapa yang nak gulingkan kerajaan??? Kononnya orang-orang CINA NAK RAMPAS KUASA!!! Ish ish ish jahat sungguh taktik "diversion" yang digunakan oleh para "perompak"ini. Dari isu Pecah Amanah Jenayah dah bertukar pula jadi isu perkauman. Siapalah agaknya penasihat strategi "perompak" ini ye....pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.



Sebenarnya apa yang rakyat mahukan ialah penjelasan Perdana Menteri tentang misteri "kehilangan" wang 1MDB. Rakyat berhak tahu cerita sebenar-benarnya kerana 1MDB telah meminjam RM4 billion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Ini wang rakyat. Ini bukan wang Yayasan Tan Sri Noah. As simple as that!!! Mengapa takut untuk tampil memberi penjelasan??? Mengapa mesti tunggu lagi 6 bulan untuk merungkai misteri ini??? Mengapa PAC dan Special Taskforce itu dibubarkan??? Mengapa tiba-tiba Peguam Negara "dipecat" dan pegawai SPRM ditangkap? Mengapa hasil siasatan Bank Negara itu masih belum diputuskan oleh Peguam Negara? Mengapa ketiga-tiga saksi utama kes itu masih berdolak-dalik dan tidak berani segera tampil memberi keterangan? Hanya orang bersalah saja yang takut!!! Rakyat juga ingin tahu betul kah berjuta-juta ringgit wang KWAP telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan samada benar sebahagian darinya telah digunakan untuk membayar caj solekan kulit Datin Sri Rosmah serta lain-lain perbelanjaan mewah beliau??

Saranan dan gesaan ikhlas ini saya tujukan kepada,

KETUA SETIAUSAHA NEGARA.


Kepada Y.bhg Tan Sri Ali Hamsa saya merayu agar Tan Sri dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Penjawat Awam No. 1 dengan penuh kejujuran dan beramanah sebagaimana yang Tan Sri sendiri unjurkan dalam banyak amanat-amanat kepada penjawat awam sebelum ini. Tan Sri seharusnya berani dan ikhlas dalam menggunakan kuasa dan pengaruh jawatan dalam kes 1MDB ini. Sebagai bapa kepada perkhidmatan awam Malaysia adalah menjadi kewajipan Tan Sri untuk menunjukkan contoh kepimpinan yang terbaik kepada ratusan ribu anakbuah. Takutilah kemurkaan Allah SWT. Jangan sekali-kali Tan Sri takut kepada tekanan pemimpin-pemimpin politik yang sudah jauh menyimpang dan menyeleweng. Tan Sri wajib sedar bahawa penjawat-penjawat awam amat mengharapkan Tan Sri untuk berlaku adil dan tegas menguatkuasakan peraturan -peraturan kerajaan dan bukannya bersubahat dengan mereka yang terang-terang bersalah, untuk menekan, menukar, mengugut, memecat dan menangkap penjawat-penjawat awam yang jujur melaksanakan tugas. Sepatutnya Tan Sri menjadi pembela kepada penjawat awam yang teraniaya!!! 


Mengapa keadaan boleh jadi sebegini buruk Tan Sri??? Tidakkah Tan Sri nanti berasa malu kepada isteri, anak menantu dan ahli keluarga yang lain?? Tidak salah jika saya katakan bahawa moral para penjawat awam kini sudah jatuh merudum. Ikrar jabatan yang dilafazkan setiap bulan oleh penjawat awam untuk memberi perkhidmatan terbaik serta penuh integriti kepada rakyat dan negara sudah tidak bermakna lagi. Ingatlah Tan Sri....jangan sampai kita tergolong dalam kumpulan orang-orang MUNAFIK!!!

PEGUAM NEGARA, TAN SRI APANDI ALI.


Rakyat di seluruh negara amat terkejut apabila Y.A Tan Sri tiba-tiba muncul di saat memuncaknya kontroversi 1MDB. Memanglah tidak terlintas langsung di benak mereka bahawa penggantian jawatan Tan Sri Gani Patail itu dilakukan se pantas kilat membelah bumi. Memanglah kami tahu bahawa penentuan siapa yang paling layak memegang jawatan paling berkuasa itu adalah hak mutlak DYMM SPB Agong atas syor Perdana Menteri. Tetapi di dalam kes Tan Sri prosesnya berjalan luarbiasa sekali. Apakah nawaitu Tan Sri sewaktu mula-mula menerima jawatan tersebut.......to discharge your duties with the highest standard of integrity??? Atau adakah Tan Sri sendiri masih terpinga-pinga dan berat untuk menerima beban jawatan tersebut???Tetapi orangramai bertanggapan bahawa Tan Sri sendiri telah banyak menyumbang idea tentang halatuju tindakan kerajaan di saat-saat genting keputusan "memecat" Tan Sri Gani Patail itu dibuat. 


Dalam ertikata lain....Tan Sri telah bersubahat dengan Perdana Menteri. Wahai Tan Sri yang budiman.....ingatlah betapa sakitnya hukuman di hari Pengadilan nanti. Pada tahap umur sekarang pintu Rahmatullah kelihatan sudah terenggang sedikit. Kita sudah tidak punyai banyak masa lagi. Janganlah dek kerana hendakkan glamor jawatan maruah diri kita gadaikan. Saya masih ada sedikit keyakinan bahawa dengan pengalaman sebagai hakim yang sebegitu luas Tan Sri mampu melaksanakan amanat Allah SWT supaya berlaku adil. Segerakanlah membuat keputusan khususnya berkaitan hasil siasatan Bank Negara itu yang kini failnya sudahpun berada di tangan Tan Sri. Bukankah Jabatan Peguam Negara sedia mempunyai ramai pakar undang-undang lulusan dalam dan luar negara??? Sudah pasti tenaga otak bijak mereka boleh digembeling bagi membantu Tan Sri membuat keputusan dengan cepat dan tepat. Beranikanlah diri Tan Sri untuk disyukuri anakcucu kemudian hari. Jangan aibkan nama baik kita kepada generasi anakcucu kemudian hari.

KETUA POLIS NEGARA.


Kepada Ydh Tan sri saya ingin mengambil peluang untuk menasihati Tan Sri agar dapat menghayati setiap patah perkataan yang tertera dalam Sumpah Jawatan, Ikrar Polis, Rukun Negara dan Perlembagaan Negara. Kuatkuasakanlah Akta Polis itu dengan sejujur-jujurnya. Kita pernah sama-sama berikrar untuk mempertahankan pertiwi dari segala bentuk ancaman. Jangan sekali-kali kita gentar dengan gertakan pemimpin-pemimpin politik yang kian terdesak akibat sifat tamak mereka. Jangan takut dengan ugutan halus "are you with me or are you not?" Janganlah PDRM bertindak MEMILIH BULU dalam penguatkuasaan undang-undang. Yakinlahlah Tan Sri bahawa 120 ribu warga PDRM ini akan tetap setia berdiri teguh mematuhi segala arahan Tan Sri yang berlandaskan undang-undang. Ingatkah Tan Sri kepada lirik lagu keramat kita "POLIS SEDIA BERKHIDMAT"? Perkhidmatan kita adalah untuk rakyat dan negara dan bukannya untuk melindungi petualang negara!!! Sudah lupakah Tan Sri bahawa telah sekian banyak warga PDRM, majoritinya yang berpangkat rendah, yang ditangkap dan diadili serta dihukum kerana rasuah yang tidak seberapa besar nilainya jika dibandingkan dengan misteri "kehilangan" wang 1MDB??? Tanpa mengira kecil ataupun besar nilai wang serta tinggi rendahnya pangkat mereka yang terlibat dalam satu-satu kes itu.....jenayah tetap jenayah. 

..... ukan oleh pemimpin tertinggi negara. Saya amat yakin ramai warga PDRM sendiri yang berasa kecewa dengan halatuju tindakan siasatan oleh pihak kita. Di sebalik kuasa yang begitu luas PDRM dilihat mengambil pendirian bersahaja, sambil lewa atau acuh tidak acuh dalam pendekatan siasatan kes 1MDB. Malahan Tan Sri sendiri dianggap oleh orangramai telah BERSUBAHAT DENGAN SENGAJA MELINDUNGI mereka yang terlibat dalam kes ini dan di waktu yang sama telah menganiaya pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara. Adakah Tan Sri diugut oleh mereka dengan sesuatu yang menakutkan? Cukuplah Tan Sri. Kembalilah bernaung di bawah pancaran semangat Panji Di Raja PDRM yang kita arak setiap 25 March. Berilah pengisian yang terbaik kepada Ikrar Hari Polis itu. Gunakanlah segala kuasa yang ada pada jawatan Tan Sri itu di jalan Allah SWT. Jadilah KHALIFAH ALLAH di bumi tercinta atau setidak-tidaknya contohilah keberanian dan kebijaksanaan pahlawan Islam yang terbilang, KHALID AL-WALID.

MANTAN PEGUAM NEGARA, TAN SRI GANI PATAIL.


Saya berasa amat sedih dan bersimpati sekali dengan nasib yang menimpa Y.Bhg Tan Sri. Ibarat pepatah Melayu....sudah jatuh ditimpa tangga. Tergamak mereka menggunakan alasan penyakit yang masih boleh diubati itu untuk "memecat" Tan Sri. Tan Sri sendiri pernah memberitahu saya dengan penuh bersemangat tentang perancangan doktor pakar untuk melakukan pemindahan buah pinggang itu selepas Aidil Fitri yang lalu. Hina dan menjijikkan sungguh tindakan mereka ke atas Tan Sri. Sebelum tragedi pemecatan jawatan tersebut berlaku saya amat konfiden dengan ketegasan Tan Sri dalam mengepalai usaha Special Taskforce 1MDB tersebut. Bimbang betul Perdana Menteri dengan pendirian "no nonsense" Tan Sri itu. Tetapi sesudah "dipecat" Tan Sri diam membisu seribu bahasa. Apa yang sudah terjadi pada diri Tan Sri? Ada pihak menyatakan bahawa Tan Sri diugut agar tidak melawan. Kononnya Tan Sri mempunyai skandal atau salahlaku yang boleh digunakan oleh mereka untuk mengaibkan Tan Sri di khalayak umum...... "Cummon Tan Sri !!! What is a small personal scandal, even if there is such, when compared to the horrific impact the 1MDB fiasco has unto the nation!!! People will easily forgive you. Come out and make a stand. All this while you are idolised as a tough fighter among the civil servants. Why in a sudden you become so timid? What have they done to you? Allah SWT will protect you sir". 

Ada juga suara-suara nakal yang menggambarkan bahawa Tan Sri telah termakan sogokan "perompak" ini dengan "habuan-habuan"tertentu. Tetapi mengenali diri Tan Sri saya yakin semua itu akan Tan Sri tolak mentah-mentah begitu sahaja. Saya masih ingat dengan jelas kata-kata bersemangat Tan Sri pada malam pertemuan terakhir kita sebelum Tan Sri "dipecat"......" Hey look...this difficult decision that I have made is not about toppling the government. I am not interested in politics. I am just doing my job". Lantaran mendengar kata-kata Tan Sri itu saya spontan berdiri dan memberi tabik hormat polis kepada Tan Sri. I can never forget this special moment sir. Saya mendoakan agar rawatan kesihatan ke atas Tan Sri berjalan dengan selamat dan sempurnanya. Aamiin.

PEGAWAI-PEGAWAI SPRM.


Kepada para pegawai SURUHANJAYA KERAMAT ini saya menyeru supaya Tan Sri/Datuk/Dato/tuan/puan semua agar berani untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur. Ambillah iktibar dari semangat kerja Mendiang KEVIN MORAIS. Fear no one except Almighty God. Berani kerana benar. Jangan gentar dengan cubaan-cubaan "blackmail" oleh pihak petualang. Jangan dilewat-lewatkan siasatan. Jika ada saksi-saksi atau suspek-suspek yang bersandiwara atau menghilangkan diri atau "bermain tarik tali" maka gunakan INTERPOL untuk memburu penyamun-penyamun tarbus ini. Saya tidak lagi berada dalam Cawangan Khas untuk menggunakan kepakaran dan rangkaian kerja kami untuk menjejak mereka. Jika tidak sudah pasti mereka "tidak cukup tanah untuk lari". Se dalam mana cacing nak menyorok di dalam tanah??? Ingatlah bahawa SPRM lah tinggalnya satu-satunya badan penguatkuasa yang menjadi harapan rakyat untuk keadilan dilaksanakan dalam kes 1MDB ini setelah pihak-pihak yang lain samada "kecut perut" atau menjadi pengkhianat keadilan. Rakyat tidak sabar lagi untuk menyaksi penghujung cerita melodrama 1MDB ini. Ganjaran yang menunggu selepas kiamat nanti amat besar sekali. Bersatulah demi kebaikan masadepan negara ini. Jangan berpecah dek "nak berebut harta perang". Jangan lupa peristiwa Perang Uhud!!!

LAIN-LAIN PENJAWAT AWAM.

Kepada lain-lain penjawat awam termasuklah PDRM, ATM, Kastam Di Raja Malaysia dan pegawai/staf kedutaan/suruhanjaya tinggi Malaysia di luarnegeri, khususnya mereka yang mempunyai maklumat tentang salahlaku "perompak-perompak"1MDB ini, saya menyeru agar mereka semua berani berdiri dan tampil ke depan untuk menyumbang maklumat. Kepada yang MUSLIM eloklah bermuhasabah diri masing-masing. Hayatilah isi kandungan pelbagai khutbah solat jumaat yang dibaca oleh khatib berkaitan dengan amanah dan integriti. Memanglah berat tanggungjawab yang kita pikul sebagai penjawat awam. Tetapi yakinlah kepada kuasa Allah SWT. Berani kerana benar. Tampillah ke hadapan untuk mendedahkan segala kemungkaran yang berlaku depan mata.

Seruan ikhlas ini khas saya tujukan kepada pegawai-pegawai agensi perisikan ATM dan Cawangan Khas yang mempunyai maklumat salahlaku "perompak" 1MDB ini. Jangan bersubahat kerana padah yang menanti kemudian hari amat buruk sekali. Tidak lupa juga kepada pegawai-pegawai TUDM yang menjadi crew jet-jet rasmi kerajaan yang tahu tentang bagaimana pembaziran dilakukan oleh VVIP kita. Rakyat jelata berikat perut untuk berjimat tetapi pemimpin negara seronok membazir wang kerajaan. 

Begitu juga dengan para pegawai kastam yang menyaksikan bagaimana barangan mewah bernilai jutaan ringgit yang dibeli oleh Datin Sri Rosmah Mansor "diseludup" masuk dan diyakini tidak dikenakan cukai samasekali. Amat menghairankan bagaimana seorang isteri kepada Perdana Menteri yang hanya seorang yang bertaraf surirumah mampu berbelanja sebegitu mewah. Dari mana puncanya wang yang dibelanjakan itu??? Tidak ketinggalan juga seruan saya ini ditujukan kepada pegawai/staf di misi-misi luarnegeri yang menjadi mangsa herdikan seperti hamba abdi oleh VVIP dan ahli keluarga mereka dalam urusan pembungkusan/pengiriman balik barangan mewah yang "dibeliborong" oleh mereka. Ingatlah tentang tanggungjawab kita untuk menghentikan perbuatan mungkar manusia-manusia rakus ini.....sudah puas berbelanja barangan mewah dengan duit kotor.....cukaipun diyakini tidak dibayar. Ingat ye......apakah yang hendak kita jawab di hari akhirat nanti??? Ketika mati nanti jasad kita hanya dikafankan dengan kain putih yang tidak se mahal mana. Tiada Harley Davidson atau beg tangan Birkin yang akan dibekalkan bersama kita di liang lahat. Macamana nak bersiar-siar dan bershopping sakan dalam kubur yang sebegitu sempit itu nanti!!!

Sekian. Ini saja yang hendak saya tuliskan buat ketika ini. Saya akan terus berusaha mendedahkan kemungkaran oleh para pemimpin yang menyeleweng ini demi pertiwi tercinta.


Salam hormat dan salam perjuangan,

ABDUL HAMID BADOR.
1 OKT 2015.

PS - Saya terima surat di atas dari watsapp grup. Mkini ada melaporkan sebahagian dari surat ini

Sumber: dinturtle
Dikuasakan oleh Blogger.